Kelab Umno Korea

LAPORAN SONBAE STRIKE 2.0

Pada 12 Disember 2017, Kelab UMNO Korea dibawah kelolaan Biro Perhubungan dan Tugas Khas telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program khas untuk para senior yang akan bergraduasi dan meninggalkan bumi sonata untuk pulang ke Malaysia pada bulan Mac akan datang. Program yang diberi nama ‘Sonbae Strike’ ini mempunyai objektif untuk meraikan pelajar tahun akhir yang bakal menamatkan pengajian. Bukan itu sahaja, dengan mengadakan program ini kami berharap agar lebih ramai golongan bumiputera Malaysia yang berada di Korea Selatan untuk menyertai Kelab UMNO Korea (KUK). Untuk pengetahuan semua, aktiviti ini lebih dikenali dengan nama “New Year Bowl”. Walau bagaimanapun pada tahun ini, nama itu telah ditukar kepada nama yang baru supaya dapat menarik lebih ramai peserta dan warga Malaysia untuk menyertainya.

Program ini juga dihadiri oleh beberapa tetamu istimewa daripada Kedutaan Besar Malaysia di Korea Selatan. Setiap peserta dan tetamu telah berpeluang untuk bermain sebanyak dua ‘set’ setiap seorang sepanjang program yang mengambil masa hampir 3 jam ini. Oleh kerana terdapat sedikit keterbatasan dari segi tempat untuk aktiviti dijalankan, penyertaan pada aktiviti kali ini telah dihadkan kepada 40 orang peserta terawal yang mendaftar sahaja. Besar harapan kami juga untuk menjalankan aktiviti seperti ini lagi dalam skala yang lebih besar agar dapat memberi peluang yang lebih banyak kepada para pelajar yang berminat untuk menyertainya pada masa hadapan.

Rasionalnya, melalui aktiviti yang dijalankan pada musim sejuk ini, para peserta dapat mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti bersenam walaupun dalam keadaan cuaca yang sangat sejuk. Tambahan lagi, program ini merupakan satu inisiatif yang diambil oleh KUK untuk merapatkan lagi hubungan antara peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar senior dan junior. Dengan itu, para peserta dapat berkenalan dengan lebih rapat dan mewujudkan satu kelompok masyarakat yang harmoni.

Pertandingan “Sonbae Strike” bermula pada jam 5:30 malam dengan kehadiran para peserta dan pada tepat jam 6:30 malam para peserta telah mula berada di ‘lane’ masing-masing untuk membuat balingan pertama. Pengarah program juga telah menjelaskan kepada semua peserta tentang pengiraan markah dan sedikit penerangan ringkas tentang program ini sebelum pertandingan bermula. Markah telah direkod oleh ahli jawatankuasa (AJK) yang bertugas pada hari kejadian.

Sebelum bersurai, kami telah memberi ruang kepada Naib Pengerusi KUK, Saudara Haziq bin Hamzah untuk menyampaikan sepatah dua kata dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Pihak KUK mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program ini sama ada secara langsung atau tidak langsung terutamanya kepada semua peserta dan AJK KUK. Semoga KUK terus maju pada program akan datang.

Leave a Reply