Kelab Umno Korea

Pilihan Raya Presiden Korea Selatan

MAHASISWA KOREA SELATAN CAKNA

Hari ini bakal mencatatkan sejarah baru buat seluruh rakyat Korea Selatan. Dalam ketegangan hubungan antara Korea Utara, Amerika Syarikat, China dan Jepun, rakyat Korea Selatan bakal memilih Presiden yang ke-12 mereka setelah bekas Presiden, Park Geun-hye dipecat daripada jawatan tersebut atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa pada 10 Mac 2017 yang lalu.

Pilihan raya ini diadakan awal tujuh bulan dari tarikh sepatutnya setelah diputuskan oleh Mahkamah Konstitusi Korea Selatan. Sementara itu, jawatan Presiden itu telah dipangku oleh Perdana Menteri, Hwang Kyo-ahn.

Pengundian awal bagi Pilihan Raya Presiden (대통령 선거) Korea Selatan telah bermula sejak Khamis lalu sebagai usaha untuk meningkatkan peratusan keluar undi. Lebih 42.4 juta rakyat Korea Selatan layak mengundi pada pilihan raya kali ini yang menjadikannya sebagai bilangan terbesar pengundi dalam sejarah negara kimchi ini.

Menjelang hari pengundian, isu-isu panas seperti hubungan Korea Selatan dan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Donald Trump, pemasangan sistem pertahanan udara yang diberi nama ‘Terminal High Altitude Area Defense’ (THAAD), rasuah di kalangan konglomerat, taraf ekonomi dan isu homoseksual telah diangkat untuk dibincangkan dalam kalangan calon presiden.

Ramai yang percaya calon dari Parti Demokratik Korea (더불어민주당), Moon Jae-in yang kalah kepada Park Geun-hye sewaktu Pilihan Raya Presiden yang lalu, bakal memenangi kerusi presiden kali ini. Calon dari Parti Rakyat (국민의당), Ahn Cheol-Soo yang merupakan seorang ahli perniagaan dan juga seorang pakar teknologi dilihat mampu memberi saingan kepada Moon. Namun begitu, polisi yang dibawakan beliau berkaitan cukai agak merisaukan buat warga asing di Korea Selatan walaupun mendapat sokongan hebat daripada penyokong-penyokong konservatif.

Pungutan suara menunjukkan Moon Jae-in mendahului dengan 42.4 peratus diikuti oleh Ahn Cheol-soo dan Hong Joon-pyo, bekas pemerintah Parti Kebebasan Korea (자유한국당) dengan masing-masing memperolehi 18.6 peratus.

Siapakah bakal memegang status ketua negara Republik Korea?Sama-sama kita nantikan!

“K untuk Kenegaraan”

Leave a Reply