Kelab Umno Korea

Kehebatan Korea Selatan yang harus dicontohi

saduartikel         

           “Ahh…Korea tu apa ada? Kpop semua tu. Set-set retis muka surgery je. Hiburan, lagha, liberal, syiah, eh?”, berikut mungkin ayat yang selalu kedengaran apabila bercakap tentang Korea. Sememangnya tidak dinafikan Korea dan Kpop tidak boleh dipisahkan. Remaja hari ini rata-rata merupakan peminat kepada Kpop. Malah, gelombang Kpop ini juga turut dirasai di Malaysia sehingga pernah mencetuskan kontoversi pada tahun 2014 apabila seorang remaja perempuan di peluk di atas pentas semasa konsert Kpop di Kuala Lumpur. Kejadian ini menjadi viral dalam sekelip mata melalui pelbagai laman sesawang seperti facebook, twitter, instagram dan lain-lain. Terdapat pihak yang mempertahankan remaja perempuan tersebut dan ada juga yang menghujani mereka dengan cacian dan tohmahan. Tidak kurang juga tempias yang diterima oleh artis korea tersebut. Apa yang ingin disampaikan oleh penulis di sini bukanlah kesan buruk Kpop terhadap jiwa anak muda tetapi bagaimana Korea Selatan mampu mencapai kejayaan yang sangat hebat walaupun mereka sudah larut dengan hiburan yang mereka cipta sendiri.  

Merenung seketika firman Allah S.W.T:

” Sesunggguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka” – QS [13:11]

          Sesungguhnya tiada kejayaan yang datang bergolek di dalam dunia ini. Hal ini telah diungkapkan di dalam al-quran sejak dahulu lagi. Di sini kita dapat lihat kejayaan itu hadirnya bukan sekadar menjaja perancangan setinggi langit, bercerita impian setinggi awan tetapi berdasarkan apa yang kita lakukan untuk menggapai kejayaan. Korea Selatan telah membuktikan kepada dunia bahawa mereka mampu menjadi sebuah negara maju walaupun tanpa memiliki hasil bumi yang mencukupi. Satu-satunya yang mereka miliki adalah sumber manusia yang berkualiti iaitu rakyat mereka sendiri. Korea Selatan telah mendidik rakyatnya untuk mementingkan disiplin dalam setiap pekerjaan mereka. Mereka amat mementingkan masa dan tidak pernah culas dalam melakukan tugas. Sikap ini sama seperti orang Jepun yang telah terlebih dahulu mencapai status negara maju sebelum Korea Selatan. Sikap ini yang telah membuka minda mereka lebih terkehadapan berbanding rakyat negara lain. Sikap patriotik yang amat tinggi dan sanggup berkorban demi kepentingan negara sudah ditanam sejak sebelum kemerdekaan mereka lagi. Sejajar dengan perkembangan negara mereka sejak keruntuhan ekonomi Asia pada tahun 1997, Korea Selatan telah bangkit sebagai sebuah kuasa ekonomi yang menggerunkan sehingga sekarang.

Untitled

          Cara pemakanan. Rakyat Korea Selatan sangat mementingkan gaya pemakanan yang sihat. Kimchi yang terkenal melalui drama-drama Korea merupakan sejenis makanan yang bagus untuk tubuh badan kita. Kimchi mengandungi vitamin dan mineral yang sangat banyak seperti zat besi, kalsium, vitamin A, vitamin C dan lain-lain. Selain itu tindakkan Antimikroba, iaitu bakteria yang keluar ketika proses pemerapan yang menghasilkan rasa masam mampu bertindak untuk mengawal kuman dan bakteria yang berbahaya. Malahan kimchi juga mampu mencegah penyakit sembelit dan mengawal penyakit radang usus. Hal ini kerana kimchi mengasimilasikan fibrin yang cukup yang sememangnya terdapat di dalam sayuran.

Untitled1

       Seterusnya adalah aktiviti riadah dan sukan yang menjadi rutin dan kemestian bagi setiap rakyat Korea Selatan tidak kira golongan muda mahupun tua. Kerajaan Korea Selatan telah menyediakan laluan basikal yang kebanyakannya mengikuti empat sungai besar di negara ini iaitu Sungai Han, Sungai Nakdong, Sungai Geum, dan Sungai Yeongsan. Jalan keretaapi yang asalnya sejajar dengan sungai-sungai besar tersebut kini ditukar menjadi laluan basikal sepanjang 633 Kilometer yang membolehkan rakyat untuk pergi ke Busan dari Seoul dengan menaiki basikal. Hal ini sekaligus menjadikan negara ini sebagai tarikan pelancong tertutamanya peminat sukan berbasikal. Bagi warga tua di Korea pula, mereka lebih gemar kepada aktiviti mendaki gunung dan ber’jogging’. Hal ini kerana bentuk muka bumi negara Korea yang bergunung-ganang dan memiliki banyak taman hatta di tengah bandar sekalipun. Mereka akan keluar rumah seawal subuh untuk bersenam dan mendaki gunung. Situasi ini sekaligus memanjangkan jangka umur rakyat Korea Selatan.

Untitled8

       Kesimpulannya, kita tidak seharusnya menghukum seseorang dengan satu tindakan mereka yang kita lihat atau dengar. Yang baik dijadikan pengajaran yang buruk dijadikan sempadan. Walaupun Korea terkenal dengan Kpop dan hiburan-hiburan lain tetapi mereka masih berpegang teguh pada prinsip mereka. Artikel ini ditulis bukan untuk mempertahankan Kpop atau perkara yang seumpama dengannya tetapi untuk mengajak kita sama-sama membuka minda lebih luas lagi supaya mengkaji tentang sesuatu perkara sebelum menilai dan menghukum.

Disediakan oleh,

Muhammad Zul Amin bin Md Maarof

Biro Sukan dan Rekreasi 1

Kelab UMNO Korea sesi 2014/2015

Leave a Reply