Kelab Umno Korea

Laporan Program Wacana Wassatiyah 3.0

Pada 21 Disember 2014, seramai 120 orang pelajar undergraduate dan postgraduate telah menyertai program Wacana Wassatiyah 3.0 yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia dengan kerjasama Kelab Umno Korea (KUK) dan TV3. Program telah diadakan di Dongyang Mirae Universiti yang terletak di Seoul, Korea Selatan.

Program  Wacana Wassatiyah 3.0 merupakan satu program khusus yang dianjurkan bagi memberi ruang kepada pelajar untuk bertemu dan memberi serta membincangkan pendapat serta pandangan mengenai pelbagai isu yang berbangkit bersama kumpulan panel yang dibawa khas dari Malaysia. Melalui program ini juga para pelajar dapat memotivasikan diri dan mendidik pelajar berfikir secara intelektual dan rational serta memahami konsep dan konteks kehidupan sebagai pelajar luar negara dan cabaran-cabaran yang akan dihadapi sepanjang pengajian. Program ini menyediakan tiga sesi yang berbeza dan disampaikan oleh tiga panel khas.

Program bermula pada jam 10.00 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu Perajurit Tanah Air. Program diteruskan dengan sesi pertama yang bertajuk ‘Wassatiyah Memartabatkan Islam’ yang diberi oleh YB Dato Dr Mashitah Ibrahim, Pengerusi Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia. Beliau menerangkan serba sedikit mengenai apa itu wassatiyah yang berasal daripada Bahasa arab, wasat yang bermaksud diperantaraan,adil atau terbaik. Beliau menerangkan keseimbangan yang perlu kita aplikasikan dalam cara hidup kita seharian sebagai seorang muslim yang cemerlang dalam pelajaran, dari segi personaliti  dan sebagainya. Seseorang yang mengamalkan wassatiyah akan secara tidak langsungnya menggambarkan personaliti seorang muslim yang akan dihormati dan dicontohi oleh segenap benua.

YB Dato Dr Mashitah Ibrahim menyampaikan sesi bertajuk ‘Wassatiyah Memartabatkan Islam’.

Seterusnya program diteruskan dengan sesi kedua yang bertajuk ‘Dunia Maya dan Pemikiran Wassatiyah’ yang disampaikan oleh Encik Juhaidi Yean Abdullah, Pengarah Eksekutif Berita Publishing. Beliau mengkongsikan serba sedikit pengalaman beliau dalam dunia penerbitan dan penulisan surat khabar harian serta menceritakan sejarah penerbitan dan tokoh-tokoh yang banyak terlibat dalam penerbitan. Beliau membincangkan isu-isu yang banyak dibangkitkan di dalam dunia maya dan memberi resolusi yang bernas mengenai isu-isu yang sering dibangkitkan.  Pengalaman beliau yang meluas sangat memberi kesan kepada para peserta yang mungkin berminat dalam dunia penerbitan.

10204319797087711

En. Juhaidi tekun mendengar pendapat dan soalan yang ditujukan oleh seorang peserta.

Program diberhentikan seketika  bagi memberi laluan kepada para peserta untuk menunaikan solat fardhu Zohor secara berjemaah dan makan tengahari. Seterusnya program dilanjutkan dengan sesi yang terakhir bertajuk ‘Pemimpin Wassatiyah Membentuk Harapan’ yang disampaikan oleh Dato Dr Fadzilah Kamsah, Pengerusi DMFK Inspiration Sdn. Bhd. Beliau memberi dan mengulas beberapa langkah untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya dan mengkongsikan amalan yang sering diamalkan oleh beliau seharian semasa bekerja mahupun selepas selesai kerja seharian. Beliau menekankan kepentingan hubungan antara manusia dan Tuhan agar kerja seharian berjalan dengan lancar dan diredhai serta diberkati amalan. Jenaka dan kemesraan beliau ketika berinteraksi bersama peserta memberi impak yang menarik melalui respon yang ceria oleh para peserta.

10204320179297266

Dato Dr Fadzilah Kamsah tersenyum ketika menyampaikan sesi.

Program berhenti seketika bagi memberi ruang kepada para peserta menunaikan solat Asar dan menjamu makanan ringan. Program dimulakan semula bagi meneruskan sesi soal jawab dan forum oleh ketiga-tiga panel. Para peserta diberi peluang membangkitkan isu dan bertanya kepada para panel mengenai apa sahaja yang berkaitan dengan program tersebut. Para panel memberi jawapan yang bernas dan diterima baik oleh para peserta. Program diakhiri dengan ucapan oleh wakil PPL , Puan Dinatra dan nyanyian lagu Satu Malaysia.

10204320532346092

Para panel tekun menjawab soalan yang ditujukan oleh para peserta.

10204321075199663

Sesi bergambar bersama para panel dan para peserta.

Akhir kata, program berjalan dengan lancar dan mendapat respon yang sangat baik oleh para peserta. Para panel yang cukup dikenali ramai dan kerjasama para ahli jawatankuasa Kelab Umno Korea menjadi kunci kejayaan pelaksanaan program Wacana Wassatiyah 3.0 sebagai penutup tirai program tahun 2014. Diharapkan program berilmiah sebegini diteruskan agar menjadi platform kepada pelajar supaya berfikiran lebih intelektual dan sentiasa mengambil tahu dengan isu-isu semasa.

Laporan disediakan oleh ,

Alia Bushra Binti Ahmad Baharin,

Biro Hal Ehwal Wanita II sesi 2013/2014,

Kelab Umno Korea.

One thought on “Laporan Program Wacana Wassatiyah 3.0

  1. Bagaimana umnokorea boleh bantu kak untuk kembangkan business dgn beli barangan dari korea spt brgan cenderamata dan brooch.

Leave a Reply